BAHAGIAN 1

Perkara 13 : Perlaksanaan Hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Ta`zir.

1) Perlaksanaan Hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Ta`zir terdapat perbezaan diantara hukuman-hukuman tersebut.

i) Kesalahan-kesalahan yang dijatuhkan hukuman hudud dan qisas, hakim tidak mempunyai pilihan untuk menentukan dan menetapkan hukuman hudud dan qisas itu, kerana hukuman tersebut telah ditentukan dan ditetapkan oleh ALLAH SWT/rasulNya di dalam al-Quran dan hadith Nabi s.a.w.

[ Maknanya, bila kes tersebut tertakluk di bawah hudud/qisas, maka hakim tidak boleh menggunakan budi-bicara dia. Sebaliknya hendaklah menjatuhkan hukuman mengikut hukuman yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT dan Rasulullah s.a.w. ]

ii) Seseorang yang telah disabitkan kesalahannya dalam mahkamah kerana melakukan jinayah syar`iyah yang wajib dijatuhkan hukuman hudud atau qisas, hakim hendaklah menjatuhkan hukuman hanya mengikut apa yang telah ditentukan dan ditetapkan ALLAH/rasulNya yang disebutkan di dalam al-Quranul Karim dan hadith Nabi s.a.w. tanpa pindaan.

[ Saudara saudari muslimin muslimat sekelian; 2 perenggan diatas dengan jelas mengatakan bahwa kalau hudud/qisas, maka hakim/pemerintah tidak ada pilihan atau tidak boleh guna budi-bicara melainkan melaksanakan saja apa yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT dan Rasulullah s.a.w.

Kita ulang sekali lagi, hudud ini hukumannya telah pun ditetapkan oleh ALLAH SWT. Kesalahannya adalah seperti zina, rogol, mencuri, merompak dan sebagainya. Manakala qisas pula dia adalah hukuman balas yang seimbang dan kesalahan adalah seperti dalam masalah pembunuhan dan mencederakan. Jadi dibawah hudud/qisas, kita tidak dibenarkan membuat pindaan atau mengambil undang-undang lain selain daripada yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT/rasulNya kepada kita.

Lalu ustaz Jailani suruh kita perati tengok undang-undang yang diguna-pakai dalam negara kita hari ini. Contohnya, ustaz bawa mai satu buku yang mengandungi "Kanun Keseksaan" yang diguna-pakai dalam undang-undang dalam negara kita hari ini.

Yang pertamanya ust Jailani pilih seksyen 378 sebagai contoh, iaitu yang menyatakan bahwa :

"Barang siapa yang bermaksud hendak mengambil dengan curang apa-apa harta yang boleh dialih daripada milik mana-mana orang dengan tiada kerelaan orang itu, lalu menggerakkan harta itu dengan tujuan hendak mengambilnya; adalah dikatakan melakukan kesalahan mencuri."…Ini adalah definasi kecurian sepertimana yang ditulis dalam buku "Kanun Keseksaan".

Lepas tu ust baca pula hukuman bagi siapa yang mencuri, yang diperuntukan oleh seksyen 379 Kanun Keseksaan yang menyatakan bahwa :

"Barang siapa melakukan kesalahan mencuri, hendaklah diseksa dengan dipenjara selama tempoh yang boleh sampai 3 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. Dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian, bolehlah dikenakan penjara atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu."

Bila kita rujuk balik kepada Kitabullah, hukum syara` kata, "Bahwa pencuri lelaki/perempuan hendaklah kamu potong kedua-dua tangan mereka itu sebagai balasan terhadap apa yang mereka lakukan. Yakni sebagai hukuman pencegah daripada ALLAH SWT."…Ini adalah ayat jaminan daripada ALLAH SWT kepada kita. La ni cuba kita compare tengok hukuman mencuri daripada Kitabullah dengan hukuman mencuri daripada "Kanun Keseksaan" yang digunakan dalam negara kita hari ini. Jauh bezanya tuan-tuan. Ini menunjukkan bagaimana kita telah mengambil satu undang-undang yang lain selain daripada apa yang disebut di dalam al-Quranul Karim.

Yang tadi contoh daripada seksyen 378/379 Kanun Keseksaan. Yang keduanya kita tengok pulak seksyen 302 Kanun Keseksaan dibawah tajuk "Membunuh dengan sengaja" : "Barang siapa melakukan kesalahan membunuh orang hendaklah diseksa dengan bunuh."…Nampak macam seakan-akan qisas. Dan mungkin ada diantara kita yang kata hukuman dalam seksyen 302 Kanun Keseksaan itu adalah qisas. Tapi yang sebenarnya, ia bukanlah qisas sebab undang-undang dalam negara kita mengatakan bahwa hukuman bunuh kepada orang yang didapati bersalah kerana membunuh adalah dibunuh di tali gantung. Ini berbeza dengan undang-undang yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. kepada kita, iaitu bunuh balik orang yang melakukan kesalahan membunuh itu sebagaimana mangsa dibunuh. Ataupun kalau cara tersebut menyeksakan si penjinayah, maka hendaklah dia dipancung untuk memudahkan kematiannya. Nabi juga tak ajar kepada kita bunuh penjinayah di tali gantung dalam penjara secara senyap-senyap. Nabi suruh hukuman hudud/qisas itu dipamirkan kepada masyarakat supaya diambil iktibar daripada hukuman yang dilaksanakan keatas penjinayah.

Semasa saya melawat satu ekspo di Seberang Jaya, Prai tahun lalu, ada satu gerai yang dikelolakan oleh Jabatan Penjara M`sia mempamirkan beberapa keping gambar yang menunjukkan keadaan kesan tubuh manusia akibat sebatan 15/10/5 kali. Daripada gambar-gambar itu, yang pertamanya kita nak bagitau bahwa dalam penjara di M`sia hari ini, procedure perlaksanaan hukuman sebatan menunjukkan bahwa penjinayah dibogelkan. Ini bertentangan dengan undang-undang Islam, yang amat menjaga tentang aurat walaupun kepada penjinayah yang sedang menjalani hukuman sekalipun. Yang keduanya pula, kita ditunjukkan juga lagumana tukang pukoi tu angkat rotannya ketika melakukan sebatan ke atas si penjinayah. Dah la dengan badan dia nala punya besaq, kemudian dia angkat rotan pula sampai lepas daripada kepala, lalu bila dia swing rotan ke arah punggung si penjinayah dengan satu daya keupayaan yang kuat, maka akan menghasilkan satu tenaga kinetik yang sangat kuat hingga boleh memecahkan kulit punggung si penjinayah itu. Sebab itu, bila kita tengok gambar-gambar yang dipamirkan itu, kita dapati macamana keadaan punggung penjinayah selepas disebat 15X, seolah-olah hancur punggung dia. Ini sangat berbeza dengan cara Islam. Islam ajar kepada kita, bila nak pukul penjinayah, rotan yang diangkat tidak boleh melepasi bahu ataupun kita angkat rotan tu jangan sampai nampak putih ketiak. Hanya sekadar itu saja yang Islam ajar cara nak pukul. Jadi macamana kita nak bandingkan antara undang-undang jinayah yang berasaskan daripada sekular yang sangat menganiaya orang itu dengan undang-undang jinayah yang berasaskan daripada Islam; amat berbeza tuan-tuan. Sebab itu, kalau nak buat perbandingan antara kedua-dua undang-undang ini, kita akan nampak bagaimana Islam masih menjaga maruah penjinayah. Walaupun dia sudah didapati bersalah kerana sesuatu jinayah, tetapi Islam masih menjaga keaibannya, berbanding dengan undang-undang sekular yang tidak langsung menjaga maruah seorang penjinayah.

Tadi kita tunjuk contoh daripada "Kanun Keseksaan" dalam negara kita. Sekarang mai kita tengok pula contoh daripada "Enakmen Kesalahan Jinayah Syar`iyah Negeri Pulau Pinang 1996". Ust Jailani pun membaca seksyen 19 yang menyatakan kepada kita bahwa : "Mana-mana orang yang di mana-mana kedai atau tempat awam yang lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3000/- atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya."…Ini mana mari punya undang-undang syariah pun saya tak tau. Sedangkan berdasarkan kepada hadith Nabi s.a.w. bahwa orang yang meminum arak hendaklah disebat dengan 40X ataupun 80X. Jadi kita pun rasa confuse, betoi tak tuan-tuan?…Nabi kata lagu ni, tapi undang-undang jinayah syariah negeri P.Pinang kata lagu lain pulak. Mana punya syariah yang puak-puak tolonji ni pakai, kita pun tak tau??…Pening dibuatnya kita, tuan-tuan. Mau tak pening, yang kita tau selama ini sumber perundangan Islam adalah Kitabullah/sunnah Nabi s.a.w., tapi tup! tup! tiba-tiba Enakmen kesalahan syariah kata lain daripada apa yang ada dalam Kitabullah/sunnah Nabi s.a.w.. Inilah masalah yang ada dalam negara kita hari ini. Minum arak adalah dibawah hukum hudud, tapi tiba-tiba puak-puak cekodong ni ambik satu undang-undang yang lain dan kemudiannya dinamakan undang-undang itu sebagai "Enakmen Kesalahan Jinayah Syar`iyah Negeri Pulau Pinang 1996". Ini merupakan satu dosa yang dilakukan oleh pihak berkuasa kita kepada ALLAH SWT.

Kemudian kita tengok pula seksyen 20 yakni berkenaan dengan sumbang mahram dalam enakmen yang sama : "Mana-mana orang yang melakukan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5000/- atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman tersebut."…Sedangkan dalam hadith Nabi s.a.w., Nabi kata, "Sesiapa yang berzina dengan mahramnya (seperti berzina dengan mak penakannya, anak penakannya, adik beradik dia, emak dan ayahnya atau anak dia), maka bunuhlah dia."…Ini adalah satu arahan daripada Nabi s.a.w. sebagai satu hukuman hudud, yang mana tak boleh kita ambik hukuman yang lain selain daripada apa yang telah diajar oleh Nabi s.a.w. kepada kita. Tapi undang-undang jinayah syariyah dalam negeri kita sendiri menyatakan bahwa tidak diambil daripada hadith Nabi s.a.w.. Ia hanya sekadar didenda atau dipenjarakan pesalah tersebut. Ini adalah satu kesilapan yang amat memalukan yang berlaku kepada orang-orang Islam dalam negara kita pada hari ini.

Begitulah juga bila kita tengok dalam seksyen 23 "Persetubuhan luar nikah" yakni zina, yang menyatakan bahwa, "Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5000/- atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu."…Sedangkan dalam al-Quranul Karim, jelas mengatakan bahwa kalau penzina itu belum berkahwin, maka sebat mereka 100X dan kemudian buang negeri selama setahun. Manakala bagi penzina yang sudah berkahwin pula, hendaklah disebat 100X, kemudian rejam dengan batu sampai mati. Tiba-tiba hari ini kita hukum orang yang berzina dengan satu undang-undang yang tidak serupa dengan apa yang ada dalam al-Quran/hadith Nabi s.a.w.. Inilah penyakit yang paling kronik yang sedang melanda orang Melayu Islam di negara kita hari ini, iaitu mereka langsung tak rasa berdosa kepada ALLAH TA`ALA kerana mereka anggap masalah-masalah sebegini tidak akan memudaratkan agama mereka. Lalu mereka pun rasa tak berdosa apa-apa bila terus mengekal orang yang berkuasa yakni orang yang boleh menukar senario yang ada la ni kepada suasana yang Islam mahu. Mereka masih lagi rasa berat untuk membuat perubahan. Begitulah perangai orang Melayu.

Contohnya sepertimana cerita yang dibagitau oleh ustaz Jailani tentang pengalamannya mengendali satu kes dalam masalah keluarga. Masalah dalam keluarga itu timbul bila ada benda kurafat dijadikan sebagai "mainan". Pasai kita pun tahu kan, yang orang Melayu ni dengan benda-benda kurafat ni memang agak sukar untuk dipisahkan. Bukan depa tak tau yang benda-benda kurafat ini boleh menjejaskan aqidah, tapi depa masih juga mengamalkannya. Jadi samalah juga dengan sebahagian orang Melayu hari ini (terutama yang darah keris berkarat tanpa sarung tu), yang depa memang tau bahwa si "kucing tua" dengan kroni-kroninya itu memang penyamun tarbus punya geng, tapi depa masih syok juga kat dia. Inilah penyakit yang sangat-sangat merbahaya yang sedang dialami oleh sebahagian orang Melayu. Tapi kat Penang hari ini, penyakit sebegini telah juga dijangkiti oleh kaum Mamak. Pasai apa jadi lagu tu?…Saya pun tak pasti pasai apa. Tapi memang tak dinafikan, taraf kehidupan depa la ni boleh dikelaskan di tempat kedua selepas orang Cina. Oleh sebab ekonomi depa sudah bagus la kot yang memungkinkan depa menjadi penyokong kuat si "kucing tua" yang suka kencing merata tu. Apa depa mau lagi, gambaq hindustan pun depa boleh jege tiap-tiap hari. Yang ni pun mungkin salah satu faktor juga pasai apa depa sokong si "kucung tua kencing merata" tu.

Balik kepada cerita ustaz Jailani tadi, iaitu seorang suami telah datang berjumpa dengan ustaz dan mengatakan bahwa isterinya sendiri menyaman dia. Ustaz tanya, "Pasai apa?"…Dia kata, "Sebab saya buka cawangan baru."…Si suami tu pun tunjuk surat saman dan pernyataan tuntutan kat ustaz yang menyatakan bahwa tuntutan isteri tua itu ialah nafkah iddah, mutta`ah dan harta sepencarian. Mutta`ah yang diminta oleh isteri tuanya ialah RM30K/-……Ish! kita yang tak dak duit ni bila dengaq isteri dia minta sebanyak RM30K/-, kita rasa macamana tuan-tuan?…Boleh mai rasa pening, perut memulas, nak terkencing dan sebagainya bila dok pikiaq kot mana nak cari sampai RM30K/- tu. Secara umumnya, Mutta`ah ini ia bergantung kepada mas kahwin yang kita bagi kat isteri kita dulu. Biaq pi lah isteri tua tu nak minta RM30K/- ka atau RM40K/- ka, sebab dalam mahkamah nanti, hakim akan menilai berdasarkan kepada mas kahwin kita dulu. Selalunya tak lari jauh. Kecuali la kalau si isteri tu boleh bagi bukti sumbangan dia kepada kekayaan si suami hingga suaminya itu jadi millionaire. Kalau dia boleh buktikan, fadhol, silakan. Mintaklah banyak-banyak sikit pun takpa.

Jadi bila si suami nak lantik ust Jailani untuk lawan isteri tua dia dalam mahkamah; soalan yang pertama ustaz tanya kat suami tu ialah, "Hang tak sayang dah ka kat isteri tua hang ni?"…Ustaz kata tujuan dia tanya lagu tu sebab bila satu orang lantik beliau sebagai peguambela, maknanya orang itu lantik ustaz untuk bergaduh dengan lawannya. Maka ustaz kata bahwa dia akan buka habis cerita-cerita yang tak elok tentang lawan clientnya itu. Oleh sebab itulah, ustaz tanya kat si suami tu soalan yang sedemikian. Mana la tau kan, kot-kot si suami tu masih sayang kat isteri tua dia tu. Kalau masih sayang lagi, ustaz kata dia nak nasihatkan supaya jangan proceed dengan mahkamah. Kalau boleh settle di luar mahkamah dulu, kira lagi cantiklah.

Maka kata suami tu bahwa dia tak berapa sayang dah dekat isteri lama dia tu. Lalu tanya ustaz, "Pasai apa?"…Suami tu kata, "Sebab isteri lama saya itu pengamal sihir."…Tanya ustaz lagi, "Sihir lagumana?...Hang ada ka bukti?"…Suami tu kata, "Ada. Yang pertama, saya jumpa tengkorak dalam rumah. Bentuknya kecik saja. Nak kata tengkorak manusia, tak nampak macam manusia, mungkin binatang la kot."…Lalu ustaz suruh dia tunjukkan tengkorak tu sebab nak jadikan barang bukti ke mahkamah. Kan ka dalam kes liwat DSAI, depa sampai sanggup usung tilam ke mahkamah sebagai barang bukti?...Sama la juga dalam kes sihir ini, yang mana ustaz minta tengkorak itu untuk jadikan barang bukti. Tapi bila si suami tu pi cari nak bagi kepada ustaz, tengkorak tersebut tak dapat lagi dikesannya. Lalu bila tengkorak yang dimaksudkan itu tak dak, maka ustaz minta lagi bukti yang kata isteri tuanya mengamal sihir. Kata si suami, "Yang keduanya, saya jumpa buluh semanggang yang selalunya kita gunakan untuk kepit ikan bakar atau ayam percik, tapi yang ni saya jumpa sedang mengepit seluar dan baju saya. Yang ketiganya pula, satu hari tu bila saya balik ke rumah isteri muda dengan niat untuk mengadakan hubungan kelamin. Tapi semasa nak buat hubungan, tiba-tiba "current" saya tak dak. Bukan current lampu tu, tapi yang ni current dalam badan saya ni. Lalu bila current tak dak, maka saya rasa syak bahwa ini adalah sihir atau benda kurafat yang dibuat ke atas saya oleh isteri tua. Lalu saya balik rumah isteri tua dan menggeledah bilik tidur, lalu saya jumpa seluar dalam saya diikat di hujung kaki bawah tilam. Bila saya buka ikatan seluar dalam saya tu, barulah current ada balik."…Inilah contoh yang nak bagitau bahwa orang Melayu kita ni sangat suka dengan benda-benda kurafat. Istilah "kurafat" ni adalah bahasa Arab. Kalau bahasa Melayu maksudnya ialah benda karut. Benda-benda kurafat atau karut ini, dia boleh bawa kepada syirik. Lalu bila syirik, maka habih la aqidah kita. Bila aqidah kita rosak, buatlah sembahyang atau puasa banyak mana sekalipun, tapi bila mati, maka serupalah kita dengan Ah Chong atau Muthusamy (minta dilindungi ALLAH). Sebab itu, kita minta kepada semua orang-orang Melayu Islam, tolong jaga agama Islam kalian. Kita jangan dok rasa benda lagu ni, perkara yang kecik, yakni pandai-pandai dok ubah apa yang ada dalam undang-undang Islam. Kita sepatutnya rasa berdosa dengan apa yang telah kita buat kepada undang-undang ALLAH TA`ALA sebab ALLAH dah bagi undang-undang yang terbaik untuk kita. Tapi kenapa kita ambik juga undang-undang lain selain daripada apa yang disebut dalam al-Quran/sunnah Rasulullah s.a.w.?…Inilah perangai orang kita yang dok ada hari ini.

Kemudian ustaz cerita lagi, tapi yang ni cerita lain pulak. Tadi seorang suami mai mengadu hal kat ustaz, tapi kali ini pula seorang isteri yang mai mengadu hal kat ustaz berkenaan kes yang hampir serupa dengan yang tadi, iaitu dia disihir oleh suaminya. Bila ustaz suruh bawa bukti, si isteri ni pun bawa mai satu benda berupa tangkal warna merah. Bila dibuka tangkal tu, di dalamnya ditulis "Dengan nama ALLAH yang Maha pengasih dan Maha penyayang", kemudian ada lukisan petak-petak yang dalam setiap petak-petak itu ditulis pula huruf-huruf jawi, dan kemudian ada nama polan bin si polan juga tertera atas kain warna merah tu. Kemudian bersama-sama dengan tangkal itu, ada pula sekeping kertas yang ditulis doa berbunyi begini :

"Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Di wadi mani manikam. Allah payung ku. Baginda Ali tongkat ku. Jah jah bukan kata ku, tapi kata Allah dan rasulNya. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung."…Aaaa! Yang ni semua karut tuan-tuan. Tang muqaddimah dengan yang penghujung tu saja yang nampak ok, tapi yang tengah-tengah tu apa benda pun kita tak tau?…. "Di wadi" tu kita tau la, mungkin bermaksud lembah. "Mani" pula mungkin suaminya tulis untuk tackle isteri dia. Bila mai kat "manikam", kita tak tau dah apa benda tu. Kemudian ayat yang second last tu, "Jah jah bukan kata ku, tapi kata Allah/rasulNya."…Yang ni yang kita kata kurafat tu, bila masa pulak ALLAH dan Nabi s.a.w. kata, "Jah jah", kita pun tak tau???...Sebab itu tuan-tuan, atas dunia ni, kita tak tau aqidah si pengamal tangkal sebegini lagumana?...Murtad ka tak murtad ka, kita tak tau?…Tapi di akhirat nanti, kita akan tahu bahwa akibat perbuatan sebegini, boleh bawa kepada syirik. Lalu bila dah syirik, maka sia-sialah Islam kita. Lalu samalah kita dengan orang yang kuffur kepada ALLAH….Nauzubillahi min zalik.

Jangan biarkan benda-benda kurafat begini menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita; sedangkan solat hajat yang diizinkan oleh ALLAH SWT itu dibenarkan, tapi pasai apa kita tak buat?…Doa-doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. tu berlambak punya dok ada, tapi pasai apa kita pi amal doa-doa yang kurafat, yang tak tau puncanya?…Serupalah juga dengan undang-undang Islam, benda-benda yang elok dan sesuai dengan manusia, semuanya sudah sedia ada dalam al-Quran/hadith Nabi s.a.w.; tapi kita masih juga ikut undang-undang yang bertentangan dengan kehendak ALLAH SWT.

Contohnya, sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, dimana salah seorang pemimpin dalam masyarakat mengatakan bahwa kita masih negara Islam walaupun hukum hudud tidak dilaksanakan...Sapa la yang pi lantik pemimpin yang mangkok ayun lagu ni. Yang ni yang dikatakan, orang yang tak tau apa, tapi dia nak tunjuk champion kata dia tau. Tuuu la, lantik lagi pemimpin yang tak mengaji. Bila dia tak mengaji, maka segala kenyataan yang dikeluarkan semata-mata ikut sedap mulutnya sahaja, tanpa berlandaskan kepada hukum syara`. Mai kita nak bagitau kat pemimpin yang bangang tu bahwa kita la ni bukan setakat tak buat hudud, malah undang-undang yang ada dalam "Enakmen Kesalahan Jinayah Syar`iyah" yang kita bincang tadi pun, tidak langsung menepati seperti apa yang ada dalam al-Quran/hadith Rasulullah s.a.w.. Lebih-lebih lagi la kalau kita tengok apa yang ada dalam undang-undang Perlembagaan Negara, yakni menyimpang langsung daripada Quran/hadith Nabi. Oleh sebab inilah, kalau kita buat discussion secara ilmiah, maka dengan jelas kita akan dapati segala undang-undang yang ada dalam negara kita hari ini, telah menyimpang jauh daripada kehendak ALLAH/Rasulullah s.a.w.. Keadaan macam ni lah yang kita nak pebetoi balik supaya tidak terus menerus berada dalam keadaan silap dan sesat. Maka dengan kerana itu, menjadi kewajipan untuk kita menyedarkan kawan-kawan lain tentang perjuangan Islam yang sebenar supaya kejayaan di akhirat kelak dapat dinikmati bersama-sama. Jangan pulak jadi macam satu golongan yang ALLAH sendiri rasa pelik dengan golongan ini, yakni sampai kena jerot leher mereka dengan rantai untuk diheret masuk ke dalam syurga ALLAH SWT. Sepatutnya bila ALLAH suruh masuk syurga, semua makhluk pakat berebut-rebut nak masuk syurga. Tapi ada juga golongan dalam masyarakat kita hari ini, yang kita terpaksa bergaduh dan mengeluarkan kata-kata kasar kepada mereka, semata-mata nak sedarkan mereka untuk bawa mereka masuk syurga. Inilah realiti yang dok ada dalam masyarakat kita hari ini. ]

Misalan-misalan :-

a) Seseorang yang dituduh mencuri dan telah dihadapkan ke mahkamah, maka dalam kes ini apabila hakim telah berpuashati dan tidak timbul sesuatu keraguan bahwa orang yang dituduh mencuri itu telah sabit kesalahannya dengan adanya salah satu dari bukti-bukti yang dikehendaki dan yang diperlukan oleh syara`, maka hakim tidak ada pilihan lain, yakni dengan hanya menjatuhkan hukuman potong tangan keatas pencuri itu. (Suratul Mai`dah:38; Riwayat Bukhari: Bab Hudud; Riwayat Imam Malik: al-Muwattho`; Kitab al-Um karangan Imam Syafii dalam jilid 6 m.s.138; Kitab Mughunil Muhtaj jilid 4 m.s.178 )

[ Ini menunjukkan kepada tuan-tuan, apa yang kita bincang tadi, bukanlah suatu sembang kosong. Tapi semuanya mempunyai hujjah yang jelas. Lalu kata ustaz, dalam kes mencuri ini, ada satu pendapat ulama yang mengatakan bahwa bila hukuman potong tangan keatas pencuri itu telah dilaksanakan, maka hendaklah digantung tangan yang dipotong itu di tengkok si pencuri dan dipamirkan kepada masyarakat, supaya memberi kesan kepada siapa yang melihatnya. Yakni untuk menimbulkan rasa kegerunan kepada manusia supaya jangan mencuri.

Muslimin muslimat sekelian. Kalaulah ditakdirkan ALLAH SWT, satu masa nanti Islam mentadbir, maka kita akan dapati bahwa kes mencuri ni mungkin akan hampir tidak berlaku. Ini adalah kerana kita nak cari saksi 2 orang yang betul-betul tengok seseorang itu melakukan perbuatan mencuri, adalah memang payah. Lebih-lebih lagi seseorang itu tidak akan mencuri kalau dia tau ada orang dok tengok dia. Sebab itu, undang-undang Islam potong tangan ni bukannya mudah untuk dilakukan. 2 orang saksi tu pulak mestilah yang adil, bukan sebarangan orang boleh jadi saksi. Dalam Islam, orang yang bergelumang dengan dosa besar atau yang berterusan melakukan dosa kecil, tidak layak untuk menjadi saksi dalam mahkamah syar`iyah yang betul-betul mengikut perundangan Islam. Tapi kalau betul-betul didapati seseorang itu bersalah mencuri dengan dapat disaksikan oleh 2 orang saksi yang adil dan cukup nisab pula, maka wajib dijatuhkan hukuman hudud potong tangan keatas pencuri berkenaan, dan dia hendaklah dipamirkan kepada masyarakat dengan digantung tangannya yang dipotong tadi kat tengkoknya supaya orang ramai pakat tengok apa yang berlaku akibat orang yang melanggar hukum ALLAH SWT. Bila kita tengok, barulah kita faham pasai apa ALLAH kata hukuman potong tangan ni adalah hukuman pencegah daripada ALLAH TA`ALA. ]

b) Seseorang yang dituduh membunuh orang lain dengan sengaja dan telah dihadapkan ke mahkamah, apabila hakim telah berpuashati dan tidak ada sebarang keraguan yang timbul di pihak hakim bahwa orang yang dituduh itu telah sabit kesalahannya membunuh orang lain dengan sengaja dengan ikrar ( yakni pengakuan si pembunuh) atau dengan adanya 2 orang saksi lelaki yang adil; maka hakim hendaklah menjatuhkan hukuman bunuh yakni hukuman mati keatas si pembunuh itu sebagai hukuman qisas, iaitu nyawa dibalas dengan nyawa. (Suratul Baqarah:179 dan Suratul Mai`dah:45)

c) Seseorang yang dituduh dan didakwa melakukan perzinaan, dan telah dihadapkan ke mahkamah, maka dalam kes ini apabila hakim telah berpuashati dan tidak timbul sesuatu keraguan bahwa orang yang dituduh dan yang didakwa itu telah sabit kesalahannya berzina dengan disaksikan oleh 4 orang saksi lelaki yang adil atau dengan ikrar (yakni pengakuan dari orang yang melakukan perzinaan itu sendiri) ataupun didapati qarinah yang menunjukkan berlakunya perzinaan itu, maka hendaklah menjatuhkan hukuman sebat sebanyak 100X dan buang negeri selama setahun, atau disebat dengan 100X dan direjam. (Surah An-Nur:2; Hadith yang dikeluarkan oleh Imam Muslim dari riwayat `Ubadah bin Sommit; Kitab al-Hudud jilid 3 m.s.1316)

[ Jadi misalan © memperuntukkan tentang masalah orang yang berzina. Untuk membuktikan kesalahan berzina, dia ada 2 cara :-

i) Kes zina, saksi mesti ada 4 orang lelaki yang adil. Maknanya, saksi yang diperlukan ialah 2 kali ganda daripada jinayah hudud yang lain. Sebab kes bunuh dan mencuri hanya memerlukan 2 orang sahaja lelaki yang adil.

ii) Pengakuan bersalah oleh tertuduh. Kalau yang dituduh itu mengaku bersalah, maka wajib bagi pemerintah untuk menjatuhkan hukuman ke atas si penzina yang mengaku bersalah tadi sebagaimana hukuman yang ditetapkan oleh syara`. ]

2) Hukuman Hudud dan Qisas; terdapat sedikit perbezaan diantara kedua-dua hukuman tersebut.

a) Yang pertamanya hukuman qisas; hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman itu keatas si penjinayah jika mangsanya atau waris mangsa itu memaafkan penjinayah tadi.Dalam kes ini hakim hanya boleh menjatuhkan hukuman diyat keatas penjinayah itu.

[ Sapa yang kata hukuman bunuh balas yang diamal dalam negara kita hari ini adalah undang-undang qisas, dia silap banyak. Kita telah pun bagi contohnya pada perkara (12) yang lalu, tapi untuk bagi lagi clear, kita ulang sekali lagi. Contohnya ialah yang berkenaan dengan kes pembunuhan Datuk Taha. Yang mana kita tahu bahwa Datuk Mokhtar Hashim telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana membunuh Datuk Taha. Di peringkat awalnya apabila mahkamah mendapati Datuk Mokhtar Hashim bersalah, maka mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada Datuk Mokhtar Hashim. Kemudian peguambela Datuk Mokhtar Hashim pun buat rayuan kepada mahkamah, tapi ditolak pada mulanya. Kemudian apabila peguambela Datuk Mokhtar Hashim membuat rayuan demi rayuan, akhirnya kita dapati bahwa bagaimana hukuman mati pada awalnya itu telah ditukarkan kepada hukuman penjara seumur hidup. Untuk pengetahuan muslimin muslimat sekelian, amalan undang-undang dalam negara kita hari ini, hukuman penjara seumur hidup bukanlah membawa maksud kita penjarakan dia sampai mati. Inilah yang berlaku kepada Datuk Mokhtar Hashim yang kita nak bagitau tu. Yakni setelah hanya beberapa tahun menjalani hukuman penjara, kemudian apabila dibuat rayuan kepada lembaga pengampunan; maka dia kemudiannya dibebaskan. Sebelum pembebasan Datuk Mokhtar Hashim itu; adakah kerajaan tanya dulu kepada keluarga Datuk Taha tentang perkara ini?...Dalam undang-undang qisas, kalau dalam kes begini, sepatutnya kerajaan hendaklah bertanya dulu kepada keluarga Datuk Taha, "Apakah kamu semua memaafkan Datuk Mokhtar Hashim yang didapati bersalah membunuh ayah kamu?"...Sepatutnya lebih kurang macam tu lah yang kerajaan kena buat, sebab Islam yang ajar kita lagu tu. Tetapi dalam undang-undang sekular, keluarga mangsa tidak ada hak untuk memberi pengampunan, sebaliknya hak tersebut telah diberi kepada pemerintah. Ini adalah satu kezoliman yang dibuat oleh undang-undang sekular terhadap perasaan isteri & anak-anak Allahyarham Datuk Taha. Perasaan isteri & anak-anak Allahyarham pasti tersinggung bilamana mereka tahu tentang pembebasan orang yang membunuh ayah mereka itu, sedangkan mereka tidak memaafkan si pembunuh itu lagi.

Jadi bila undang-undang sekular berlaku zolim, maka ia menunjukkan tidak sesuainya ia dan lemahnya ia untuk mencabar undang-undang Islam. Sebab itu, kita sebagai orang Islam, sepatutnya merasa bangga dengan undang-undang yang diturunkan oleh ALLAH SWT itu kepada kita. Untuk membuktikan kata bahwa kita cukup bangga dengan undang-undang Islam ialah kita perlu melaksanakan undang-undang tersebut. Dan bukti yang kata kita mau melaksanakan hukum ALLAH itu ialah dengan kita mengangkat orang yang memang mahu melaksanakan undang-undang tersebut. Kalau setakat mulut saja kata nak, tapi hati kita masih lagi cenderung kepada puak-puak munafik yang tak mau kepada Islam, itu bermakna kita juga masih belum mahu kepada Islam.

Yang ni orang Penang kata "sembang saja lebih". Bila ada peluang kutuk orang, dia akan kutuk habis-habisan; padahal dia sendiri pun jahil. Bila kata nak buat negara Islam, dia nanti dengan bersemangat bangun, "Pong! Pang! Pong! Pang!"...Tapi bila kita ajak pi mengaji, dia nanti kata, "Sheikh jalan dulu, nanti kami ikut belakang."...Lagu tu la, dengan ayaq tu depa nanti belah. Lebih-lebih lagi kalau ajak pi mengaji tajwid.T afsir atau mengaji sirah, kira kadang-kadang depa boleh la gagah juga pi kuliyyah. Tapi kalau tang tajwid, lepas-lepas Imam bagi salam sembahyang Maghrib tu...Zup! Zap!...hilang al-ghaib wal-ghuyub.T engok-tengok, baguih punya dok bergebang kat kedai kopi. ]

b) Hukuman hudud hakim wajib menjatuhkan hukuman itu keatas penjinayah walaupun dia dimaafkan oleh mangsanya atau waris mangsanya kerana hukuman hudud itu wajib dikenakan di atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan hak ALLAH atau hak orang ramai.

[ Contohnya, di zaman Rasulullah s.a.w., ada seorang sahabat r.a. melaporkan kepada Nabi tentang seorang pencuri telah mencuri hartanya. Apabila dibuat perbicaraan, Nabi s.a.w. mendapati bahwa si pencuri itu memang bersalah. Tapi apabila hendak menjatuhkan hukuman potong tangan keatas si pencuri itu, tiba-tiba sahabat yang buat pengaduan tadi minta supaya Nabi jangan laksanakan hukuman pula, sebab dia dah maafkan si pencuri itu. Maka kata Nabi kepada si pengadu itu, "Bila kamu buat lapuran kepada aku, maka wajib dijatuhkan hukuman hudud keatas si pencuri."...Pengajaran yang kita dapat daripada kisah ini ialah dalam hukuman hudud, khususnya dalam masalah mencuri; kalau ada barang kita yang dicuri dan kemudiannya pula kita nak maafkan si pencuri itu, maka mestilah kita maafkan si pencuri itu di peringkat awal yakni sebelum membuat apa-apa lapuran, lebih-lebih lagi kepada pihak yang berkuasa. Dalam perundangan Islam, kalau kita buat report kepada pihak yang berkuasa, maka wajib kepada pihak berkuasa menghukum si pencuri. ]

c) Hukuman Qisas adalah wajib dikenakan keatas kesalahan-kesalahan yang melibatkan hak orang perseorangan. Dimana orang-orang yang mempunyai hak itu boleh menuntut dan meminta kepada hakim supaya penjinayah tadi dijatuhkan hukuman qisas atau memaafkannya.

[ Sebagaimana yang kita sebut hari itu; dalam masalah membunuh, mencederakan dan melukakan, maka hakim kena tanya kepada mangsa atau waris mangsa dulu. Kalau mangsa atau waris mangsa memaafkan kesalahan si penjinayah berkenaan, maka wajib bagi pihak berkuasa untuk membebaskan penjinayah berkenaan. ]

d) Hukum Hudud dan Qisas wajib dilaksanakan dan dijatuhkan hukumannya keatas penjinayah yang melakukan kesalahan-kesalahan yang didakwa dibawah kes hudud dan qisas dan telah disabitkan kesalahannya di dalam mahkamah dengan bukti-bukti dan keterangan-keterangan yang dikehendaki oleh syara`, yang tidak menimbulkan sesuatu keraguan di pihak hakim.

e) Hakim tidak mempunyai kuasa untuk mengampunkan atau meringankan atau menggugurkan hukuman hudud dan qisas. Kecuali dalam hukuman qisas, dimana orang yang mempunyai hak boleh memaafkan penjinayah itu atau membuat bayaran diyat. (Surah al-Baqarah : 178)

[ Dalam qisas, sebagaimana yang kita sebut tadi, mangsa atau keluarga mangsa sahaja yang mempunyai hak untuk mengampunkan dan membebaskan penjinayah. Jadi, hakim tidak ada kuasa melainkan melaksanakan hukuman diyat sebagai ganti kepada hukum qisas. ]

f) Hakim apabila hendak mensabitkan kesalahan-kesalahan dalam hukuman hudud/qisas keatas penjinayah, mestilah dengan keterangan-keterangan saksi-saksi atau ikrar yakni pengakuan penjinayah itu sendiri dengan syarat-syarat yang tertakluk dibawah syarat-syarat iqrar.

3) Hukuman diyat (pampasan) boleh dikenakan keatas penjinayah yang tidak membolehkannya dijatuhkan hukuman qisas. Iaitu :-

a) apabila hukuman qisas itu dimaafkan oleh mangsa atau waris mangsa.

b) apabila terhalang melaksanakan hukuman qisas kerana sebab-sebab syarii, seperti hilang anggota yang akan diqisas atau anggota tersebut sakit dan sebagainya.

[ Misalnya; seorang penjinayah pi kerat tangan kanan mangsa. Kemudian apabila dibicarakan, tengok-tengok si penjinayah itu sendiri pun memang tak dak tangan sebelah kanan. Dalam hukum syara`, qisas mestilah dibalas dengan benda yang sama. Jadi bila penjinayah itu tak dak tangan kanan, kita tak boleh la pi kerat tangan kiri dia pulak sebagai ganti. Oleh sebab tidak boleh diganti dengan anggota badan yang lain, maka dia hendaklah membayar pampasan kepada mangsa iaitu lebih dikenali sebagai "diyat". ]

c) pembunuhan yang serupa dengan sengaja (separuh sengaja).Yakni perbuatan bunuh itu sengaja tapi tidak ada niat untuk membunuh.

[ Misalnya; kita pi rotan anak murid dengan niat untuk bagi pengajaran, tapi tiba-tiba budak itu mati.Jadi, inilah yang dikatakan perbuatan kita tadi sengaja tapi tak dak niat nak bunuh budak tu. ]

d) pembunuhan yang tersalah yakni tidak sengaja.

[ Contohnya; masa kita bawa kereta, tiba-tiba ada budak lintas. Dan tanpa sempat tekan brek, kita terus langgar budak tu, lalu budak tu mati. Inilah yang dikatakan membunuh dengan tidak sengaja, maka wajib dikenakan diyat diatas nyawa orang kita bunuh dalam keadaan tidak sengaja. ]

e) mencederakan atau menghilangkan anggota orang lain kerana tersalah.

[ Contohnya; masa kita bawa kereta, tiba-tiba kita tak perasan yang kita gelek kaki orang. Kaki orang tu hancur dan terpaksa dipotong untuk menyelamatkan nyawanya. Maka kita wajib bayar diyat diatas kaki orang tu yang hilang. Secara ringkasnya, 1 diyat ini membawa maksud 100 ekor unta. Maknanya, bila kita bunuh orang dengan sengaja dan kita pula dimaafkan oleh waris mangsa, maka kita wajib bayar dengan kadar 100 ekor unta. Jadi bagi negeri yang tidak ada unta, hendaklah dibayar dengan nilai semasa unta tersebut. Kalau 100 ekor unta berharga RM200K/-, maka kita wajib bayar RM200K/- kepada waris mangsa.

Kalau dalam kes mencederakan tanpa sengaja. Contohnya, kalaulah kita membutakan kedua-dua belah mata mangsa dengan tidak sengaja, maka kita dikenakan bayar 1 diyat. Ini bermakna 100 ekor unta juga. Tapi kalau sebelah saja mata yang dibutakan, maka ia adalah separuh diyat iaitu lebih kurang 50 ekor unta. Ini secara ringkas dan kita akan membahaskan persoalan tentang diyat dengan panjang lebar bila kita masuk bab Diyat. ]

4) Hukuman Ta`zir, hakim mempunyai kuasa penuh secara mutlak menentukan dan memilih mana-mana hukuman yang sesuai dan munasabah dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjinayah-penjinayah tadi.

[ Hukuman Ta`zir adalah hukuman yang dikenakan atas kesalahan yang tidak terletak dibawah hudud, qisas dan diyat. Atau mana-mana kesalahan yang tidak disebut dalam Quran dan tidak ditetapkan dalam hadith Nabi s.a.w., maka ia disebut sebagai "Ta`zir". Bentuk dan kadar hukuman yang dikenakan adalah atas budi bicara hakim. ]

a) Dalam memilih hukuman yang sesuai dan munasabah bagi hukuman ta`zir, hakim hendaklah mengambil kira mengenai keadaan hidup serta latarbelakang penjinayah itu dan kesalahan yang dilakukannya serta kesan-kesannya kepada masyarakat.

[ Dalam hudud; kalau hang berzina, maka tak kiralah hang sapa ( hang PM ka, hang TG ka, hang tok imam ka, hang ahli korporat ka, hang kutu jalanan ka); kalau hang tak kahwin, hang mesti disebat 100X. Tapi dalam ta`zir, ia agak berbeza. Lalu ustaz cerita pengalamannya membicarakan seorang pelajar yang ditangkap dibawah seksyen 6 berkaitan dengan dadah. Semasa dia ditangkap, memang dekat dia ada bekalan dadah tapi dalam quantiti yang kecil. Jadi, bila ustaz Jailani dilantik sebagai peguambela kepada pelajar itu, lalu ustaz pun interview pelajar itu dan didapatinya bahwa pelajar itu telah pun bertaubat dan tidak akan mengulangi perbuatan buruknya itu lagi. Kemudian bila dibawa berbincang dengan ayah kepada pelajar itu, ayah dia kata dia niat nak hantar anaknya itu ke Jordan untuk belajar Syar`iyah. Jadi selepas berjaya menguruskan kemasukan budak itu ke Univ. di Jordan, tiba-tiba sampai tarikh perbicaraan. Lalu ustaz pun jumpa dengan majistret dan buat "plea bargaining" dengan mengatakan bahwa budak ni telah pun berjaya di tarbiyyah dan akan pergi belajar Syar`iyah di Jordan. Kita harap dengan kehidupannya yang baru dalam suasana yang baik di Jordan, dia akan dapat memperbaiki kehidupannya sambil mentelaah al-Quran, hadith, hukum hakam Islam. Jadi bila dia balik ke negara kita nanti, Insya`ALLAH, dia akan jadi tok guru kita pulak. Dengan itu maka ustaz Jailani minta kepada mahkamah majistret memberikan perintah "bound over", iaitu perintah jaminan berkelakuan baik. Yakni tak payah penjara atau denda dia, tapi hanya sekadar lepaskan dia dengan amaran atau diikat jamin berkelakuan baik. Jadi, hakim pun setuju, maka inilah yang dikatakan ta`zir, iaitu keputusan hakim bergantung kepada keadaan dan suasana. ]

b) Hukuman ta`zir; jika kesalahan-kesalahan itu melibatkan hak ALLAH, maka wajib dijalankan dan dijatuhkan hukuman itu keatas penjinayah-penjinayah tadi.

[ Yang dikatakan hak ALLAH itu seperti kesalahan mencuri, tapi kalau tak cukup nisab, maka tidak boleh pula dikenakan hukuman hudud. Tapi disebabkan ia berkaitan dengan hak ALLAH SWT, maka hendaklah dijalankan hukuman ta`zir keatas penjinayah berkenaan. ]

c) Adalah dibolehkan bagi hakim memberi keampunan atau memaafkan atau meringankan hukuman keatas penjinayah jika pada pandangan dan pendapat hakim bahwa tindakannya itu memberi kebaikan keatas penjinayah itu atau kepada masyarakat umum.

[ Seperti yang kita sebut dalam kes pelajar tadi, yakni kalau kita bagi keampunan dan bebaskan dia, kita harap dia boleh belajar di Jordan. Tapi kalaulah kita tahan dia, maknanya passport dia akan ditahan, maka terbantutlah niat dia untuk belajar di Jordan. Sebab itu, dalam kes ta`zir, hakim boleh guna budi-bicaranya untuk menjaga kemaslahatan tertuduh.

Lepas itu ustaz Jailani cerita satu lagi contoh hukuman ta`zir yang dikenakan keatas seorang Pakcik dan seorang pemuda di mahkamah majistret Kulim. Pakcik itu disaman kerana bawa motosikal tanpa lesen B2, tanpa roadtax dan tanpa insuran. Sebelum tu, seorang pemuda juga ditahan kerana kesalahan-kesalahan yang sama. Dan dikenakan hukuman denda oleh majistret dalam lingkungan RM200/- hingga RM300/- dan lesen digantung selama 1 tahun. Bila ditanya oleh majistret, "Motosikal apa Pakcik pakai?"...Pakcik tu pun sebut la motosikal buruk dia tu. Kemudian majistret tanya lagi, "Pakcik nak pi mana masa ditahan oleh polis?"...Pakcik kata, "Masa tu saya nak pi minum kopi kat kedai."...Majistret tanya lagi, "Motosikal ni Pakcik guna untuk apa?"...Pakcik tu kata, "Untuk angkat padi dan untuk pi minum kopi di kedai."...Jadi, bila dengar keterangan yang sedemikian daripada Pakcik tu, maka majistret pun membebaskan Pakcik tu dengan amaran. Inilah yang dikatakan hakim guna budi-bicaranya, sebab dia tahu walaupun Pakcik tu tak dak lesen, roadtax dan insuran, tapi dengan motosikal buruk dia tu, Pakcik tu tidak akan jadi "superman" di tengah jalanraya. Tapi pasai apa budak muda yang dihadapkan dengan kesalahan yang sama, dikenakan denda pulak?...Sebab budak muda ni, dia ada kemungkinan jadi "superman" atas jalanraya. Sebab itu, hakim halang dia daripada mengambil lesen memandu selama setahun. Ini yang dinamakan ta`zir.

Tapi kalau kita buat ta`zir sahaja; hudud tak buat, qisas tak buat, undang-undang ekonomi Islam kita tak buat, perlembagaan Islam kita tak buat; ini bermakna tak cukup syarat untuk declare kata negara kita adalah negara Islam. Macam kita sembahayang la tuan-tuan; maghrib saja yang buat, isya`/Subuh/Zohor/Asar, hancusss! Mana boleh lagu tu. Sebab itu, kita kena buat kesemua apa yang ALLAH SWT perintahkan kepada kita. ]

d) Hukuman ta`zir yang melibatkan hak orang perseorangan, maka orang yang mempunyai hak itu adalah berhak membuat keputusan samada ia hendak mengampunkan dan memaafkan penjinayah itu atau menghukum mereka.

e) Hukuman ta`zir tidak semestinya untuk mensabitkan kesalahan penjinayah itu dengan keterangan saksi atau ikrar penjinayah itu sebagaimana mensabitkan kesalahan dalam hukuman hudud/qisas.

[ Dalam ta`zir, ia tak perlu kepada saksi ataupun pengakuan penjinayah. Kita boleh guna "qorinah" atau "circumstantial evidence". Contohnya; kita nak tuduh seorang itu menyimpan barang curi. Menyimpan barang curi bukan dibawah hudud, tapi ia dibawah ta`zir. Jadi, kalau kita nak tuduh seseorang tu menyimpan barang curi, tak perlu ada saksi dan tak perlu kepada ikrar. Cukup dengan keterangan keadaan sahaja, iaitu dengan adanya barang curi dalam rumahnya, sudah cukup untuk kita sabitkan kesalahan itu kepada dia. ]

f) Hukuman ta`zir boleh dijatuhkan dan dikenakan keatas kanak-kanak kerana hukuman ta`zir itu adalah bertujuan untuk menjadi pengajaran kepada penjinayah itu. Tidak sebagaimana hukuman hudud/qisas, dimana ia hanya wajib dikenakan keatas orang-orang yang sudah baligh sahaja.

[ Dalam undang-undang sekular dalam negara kita hari ini pun, dia ada perbezaan antara orang dewasa dan kanak-kanak. Kalau kes kanak-kanak, ia akan dibicarakan di mahkamah juvana. Dalam mahkamah juvana, majistret akan dibantu oleh 2 orang advisor. Jadi ini membuatkan ada sedikit persamaan diantara undang-undang sekular dengan undang-undang Islam di dalam kes juvana. ]

g) Hukuman ta`zir boleh menggantikan hukuman hudud jika keterangan tidak memenuhi syarat-syarat untuk membuktikan kesalahan hudud yang membolehkan hukuman hudud itu dijatuhkan dan dikenakan keatas penjinayah kerana saksi telah menarik balik keterangan mereka, atau kerana yang tertuduh itu telah menarik balik ikrarnya, atau kerana keterangan yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan itu boleh di dakwa dibawah kesalahan hudud, maka dalam kes ini, yang tertuduh boleh dikenakan hukuman ta`zir, dan hakim hendaklah bertindak untuk menjatuhkan hukuman ta`zir jika didapati keterangan-keterangan yang cukup untuk menghukum penjinayah itu dengan hukuman ta`zir itu.

[ Contohnya sepertimana yang telah kita bincang hari tu, iaitu bilamana serbuan dilakukan untuk menangkap penzina, tetapi seorang saksi pun tak dapat tengok dengan jelas, zakar lelaki tenggelam dalam faraj perempuan. Maka tak cukup syarat untuk menuduh pasangan itu berzina. Jadi hendaklah dikenakan dengan hukuman ta`zir sebagai ganti kepada hudud yang sepatutnya dikenakan kepada kesalahan yang berkenaan. ]

Insya`ALLAH, kita akan sambung ke Bab 2, yang akan membincangkan kesalahan Hudud secara agak terperinci. Iaitu daripada zina, qazaf, minum arak, sariqoh, hirabah, murtad dan bughah.

Tadi pada awal kuliyyah, ustaz tak bawa mai apa-apa isu pun. Tapi kali ini, ustaz Jailani buka soalan pula bagi menutup kuliyyah pada malam itu.

Soalan 1 : Ada dikalangan kita ni yang menggunakan alasan "kejahilan" dalam masyarakat, menyebabkan kita tidak boleh melaksanakan undang-undang Islam. Apa pandangan ustaz tentang hal ini?

Jawapan 1 : Lalu ustaz Jailani sebut satu contoh. Iaitu ada seorang tokoh (tak disebut namanya) dalam negara kita pernah menggunakan alasan ini dalam satu seminar. Bila ada orang tanya kepada dia, "Pasai apa kita sekarang ni tidak melaksanakan undang-undang Islam?"...Tokoh tu kata, "Sebab kita tidak ada kemahiran yang cukup. Sebab itu kita masih tidak dapat melaksanakan undang-undang Islam."...Selepas dia ditanya sebegini di seminar tersebut, selang beberapa lama kemudian, berlakulah peristiwa pemecatan bekas timbalan PM kita. Selepas berlaku pemecatan keatas bekas timbalan PM, tokoh tadi telah memilih untuk menyokong gerakan yang dibuat oleh bekas timbalan PM kita itu. Lalu dalam satu ceramah, tokoh itu mengatakan bahwa benda macam ni berlaku dalam negara kita sebab kita tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Aha!...dari kisah yang ustaz dok cerita tadi; bukan apa, yang ustaz nak bagitau ialah alasan yang mengatakan bahwa kita tidak ada kemahiran ini hanyalah sekadar excuse ataupun sekarang ni kita panggil dengan budaya "escapism" yang dibuat oleh golongan tertentu untuk mengatakan bahwa mereka kononnya memang pun nak buat undang-undang Islam, tapi oleh kerana tidak ada kemahiran, hasrat itu ditangguhkan dulu.

Lalu kata ustaz Jailani, "Kalau betul lah yang kata kita tak dak kemahiran; mai kita nak tanya, sapa yang bagi kat kita "Kanun Keseksaan" yang kita dok amal sampai hari ini?"...Bukan kah British yang bagi. Bila depa bagi dekat kita?...Lalu ustaz baca di kulit buku tersebut, iaitu, "Sebagaimana yang diperluaskan ke seluruh persekutuan tanah Melayu oleh ordinan meminda dan memperluas pemakaian Kanun Keseksaan 1948."...Ini bermakna, British bagi kat kita, nuuuuu! tahun 1948, tuan-tuan. Kita pun belum merdeka lagi. Pada tahun 1948 dulu, kita ada tak kemahiran tentang undang-undang sebegini?...Mana ada, tuan-tuan. Sebab undang-undang ni adalah undang-undang orang putih. Time tu pulak yakni masa tok nenek kita, orang Melayu Islam begitu asing dengan undang-undang barat. Tapi pasai apa undang-undang barat boleh diperkenalkan kepada semenanjung tanah Melayu?...Padahal waktu tu, orang-orang Melayu Islam lebih familiar dengan Quran/Hadith Nabi s.a.w. berbanding dengan undang-undang barat; sebab time tok nenek kita dulu depa baca Quran/hadith ni tiap-tiap hari.

Sebab itu muslimin/muslimat sekelian; persoalan tadi hanyalah satu escapism yakni hanya satu jalan keluar kepada orang yang enggan melaksanakan undang-undang Islam. Dengan tegas kita nak sebut bahwa alasan beberapa pemimpin dalam negara kita yang mengatakan bahwa, "Kalau buat Islam nanti habih batu tengah jalan atau kalau buat Islam nanti kudung semua orang Melayu."...Ini sebenarnya hanya sekadar alasan kenapa mereka tak mau melaksanakan Islam. Manakala alasan yang kata kita tidak ada kemahiran ini, hanya digunakan oleh golongan yang reti agama sikit. Golongan ni, depa tak berani nak cerca agama, pasai depa reti agama. Jadi depa guna alasan yang agak boleh justify keengganan depa untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Lalu ustaz cerita ada satu kawan dia, pi di perkampungan PKM di selatan Thailand sedikit masa lalu. Kawan dia tu pi jumpa dengan Rashid Maidin yang pernah memimpin PKM. Bila kawan tu tanya, "Pasai apa encik Rashid tak mau balik semula ke M`sia?"...Rashid Maidin kata, "M`sia ni sebenarnya belum merdeka lagi."...Tanya kawan tu, "Pasai apa belum merdeka?"...Rashid Maidin kata, "Merdeka yang sebenarnya ialah kita mau halau penjajah daripada negara kita. Kalau penjajah bagi kemerdekaan kepada negara kita, itu bukan merdeka namanya."...Kawan tu tanya lagi, "Apa bezanya antara kemerdekaan yang kita dapat melalui kita halau depa dengan depa bagi kat kita?"... Rashid Maidin kata, "Bila penjajah bagi kemerdekaan kepada kita, maka kita tidak merdeka sepenuhnya. Contoh, cuba awak tengok undang-undang syariah dalam negara M`sia. Ada atau tidak, unsur undang-undang barat di dalamnya?"...Cuba tengok tuan-tuan, walaupun Rashid Maidin itu daripada PKM, tetapi apa yang dia kata tu, ada kebenarannya.

Jadi kesimpulannya muslimin/muslimat sekelian; kalau kita nak buat undang-undang Islam, kita kenalah yakinkan masyarakat bahwa kita bersungguh-sungguh nak buat Islam. Sekarang ni kan dah ramai anak-anak muda kita yang balik daripada al-Azhar dan ramai dah yang PhD/Master dalam bidang agama. Tak cukupkah lagi dengan tenaga-tenaga ini untuk mengemukakan undang-undang Islam?...Kita pun tahu kan, ada sebuah negeri dalam negara kita yang telah mengemukakan draf undang-undang Islam dan kita dapati draf tersebut ditolak diatas dasar politik.


Bersambung

Kembali Ke Muka Hadapan