Make your own free website on Tripod.com

Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh, 

FASAL 4.

SARIQAH (MENCURI)

Perkara 73: Nisab/nilai barangan yang dicuri yang dikenakan hukuman hudud.

Nisab atau nilai jumlah harga harta atau barangan yang dicuri yang wajib dikenakan hukuman hudud ke atas pencuri itu tidak kurang dari satu perempat dinar atau tiga dirham. Nilai atau kadar tersebut adalah berdalilkan hadith-hadith berikut:

1) Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya yang bermaksud: Jangan dipotong tangan orang yang mencuri, kecuali barangan yang dicurinya bernilai (sampai harganya) satu perempat dinar atau lebih. Muttafaq Alaihi (Bukhari dan Muslim)

2) Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. yang bermaksud: Bahawa Nabi s.a.w. telah mengenakan hukuman potong tangan ke atas orang yang mencuri "mijan" yang harganya bernilai 3 dirham. (Riwayat al-Jama`ah)

[ Ada pendapat yang mengatakan "mijan" itu adalah satu tempat penyimpan senjata yang harganya ketika itu tiga dirham. Dan ada juga pendapat yang lain mengatakan bahwa "mijan" itu adalah makanan yang boleh menguatkan tubuh badan ketika berperang. Imam Syafie berkata: Tukaran wang di zaman Rasulullah s.a.w. satu perempat dinar sama dengan tiga dirham, iaitu satu dinar sama dengan 12 dirham. Jumhur ulama` juga berpendapat begitu. Manakala pendapat Imam Abu Hanifah yang berpegang kepada hadith daripada Imam Ahmad bin Hambal pula mengatakan bahwa satu mijan harganya ialah satu dinar. Dan satu dinar bersamaan dengan 10 dirham. Jadi maknanya ada sedikit perbezaan pendapat dalam hal mijan ni. ]

Perkara 74: Pencuri yang tidak boleh dikenakan hukuman kesalahan sariqah.

1) Pencuri yang tidak boleh dikenakan hukuman kesalahan sariqah ialah:

a) Pencurian yang dilakukan secara khianat, iaitu orang yang mengambil harta atau barangan yang diamanahkan kepadanya. Mereka yang melakukan kesalahan tersebut tidak boleh didakwa dibawah sariqah (mencuri) dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud (potong tangan), tetapi mereka itu hendaklah didakwa di bawah kes kesalahan pecah amanah yang wajib dikenakan hukuman ta`zir. Termasuk dalam kes ini ialah mereka yang melakukan penipuan.

[ Dalam kes pecah amanah, kalau melibatkan wang yang banyak sekalipun, hukum potong tangan tetap tidak boleh dilakukan. Ia hanya boleh dikenakan ta`zir. Begitulah juga dalam kes penipuan. Contohnya dalam suratkhabar minggu lalu diceritakan kepada kita bagaimana berlakunya beberapa kes penipuan dalam masyarakat kita hari ini. Penipu ni tuan-tuan, dia boleh mai dengan berbagai-bagai cara untuk tarik perhatian kita. Kita mau kereta jenih apa, semuanya dia ada. Dia kata, "Ni dia kereta proton wira UK spec punya. Atas sebab tertentu, kereta-kereta ni tak boleh nak ship keluaq. Tak dapat nak ekspot, sangkut kat pelabuhan. Jadi la ni kalau encik mau, kami nak juai murah-murah ja."...Harga sebenar RM52K, dia boleh peturun sampai RM25K. Bila kawan kita calculate-calculate, tengok-tengok, sebulan boleh bayaq RM300 saja. Orang lain beli kereta macam tu kena bayaq RM600-RM700 sebulan, tapi kita RM300 saja. Ni kira untung besaq dah ni. Tu yang pakat bayaq duit muka tu. Tup-tup masuk paper, bukan saja orang kampung macam kita saja yang kena tipu, malah seorang pakar motivasi yang ada PhD pun kena tipu jugak. Sebab tu saya nak nasihat kalau tuan-tuan didatangi salesman, atau kawan-kawan kita maupun sedara mara kita sekalipun; mai nak juai barang dengan harga yang murah, jangan dok percaya la. Baik pi beli hat ori kat kedai yang ada gerenti punya lagi baguih.

Bagi orang yang suka sangat menipu ni pulak, memanglah hang seronok sebab dapat duit dengan pebodo orang lain. Tapi hang kena ingat setiap orang yang dizalimi, doa depa tidak ada hijab dengan Allah SWT. Cuba tengok apa yang dah berlaku pada seorang penipu yang bergelar "Mahaguru" yang disiarkan dalam paper minggu lalu?...Setelah banyak duit yang dia dah makan hasil penipuannya itu, akhirnya Allah buka aib dia. Masuk dalam paper cerita dia menghadapi masalah rumahtangga akibat bergaduh dengan isteri. Si isteri ni dah tak tahan tengok perangai suami dia menggunakan kederat anak yatim suruh pi minta sedeqah untuk isi kantung dia. Saya sendiri pun dah terkena tuan-tuan oiii!...Hari tu petang raya Eidul Fitri. Esok dah la nak raya, tapi baju tak beli lagi. Tak ke kelam kabut punya cerita tu?...Apalagi, pederaih pi KBJ (kompleks Bkt Jambul) la jawabnya. Lepas tu dah habih shopping apa semua, kelam kabut nak balik pulak, pasai malam tu kat masjid nak buat makan-makan untuk meraikan budak-budak pi takbir rumah ke rumah. Dalam dok kelam kabut nak balik tu, terpandang saya sorang budak pompuan dalam usia 8-9 tahun berkebaya cantik, tudung pun cantik, berdiri depan main entrance tu. Dalam hati saya kata, "Ish! apa budak ni buat kat sini petang-petang raya ni?...Makbapak dia mana pi?"...Saya pun pi dekat ngan dia. Dalam sebak dia hulur satu kalender, lepas tu dia kata, "Pakcik derma la pakcik! Saya dari sekolah tahfiz."...Saya pun tak sampai hati, ambik RM10, bagi kat dia. Masa bagi tu, saya tanya kat dia, "Adik tahfiz kat mana?"...Dia tak jawab. Dia menangis dan terus melarikan diri....Macam-macam hal dunia ni. Takpalah, saya pun pederaih balik. Kemudian malam tu bila saya cerita kat member pasai budak pompuan tu, depa kata, "Hang pun terkena jugak ka?...Hang tengok kan dalam kalender tu ada gambaq sorang mahaguru berpakaian kuning ala raja-raja?...Dia ni la dok pekena budak-budak tahfiz, suruh depa keluaq pi minta sedeqah. Malam pukoi 11 baru dia ambik depa bawa balik."...Berderau darah saya dengaq cerita lagu tu. Sebab tu sekarang ni saya bukan boleh lama-lama kat KBJ tu, lebih-lebih lagi bila nampak gambaq mahaguru penipu tu dengan ubat tradisional dia. Allah Maha Adil, dulu kat Kedah saja yang tau perihal mahaguru penipu ni, tapi sekarang bila masuk cerita dia dalam paper, satu M`sia dapat tau. Ini amat-amat memalukan. Sebab itu starting point dalam kehidupan kita, jangan sekali-kali ada unsur-unsur penipuan. Sebab apa tuan-tuan?...Sebab kalau Allah SWT balas kejahatan kita itu dengan membuka keaiban kita, time tu seluruh negara akan mengetahui siapakah kita yang sebenarnya.

Jadi dalam kes penipuan, ianya tidak termasuk di bawah hudud. Tetapi ia tertakluk di bawah ta`zir. Jadi kalau ada satu orang mai nak juai kereta murah, lalu kita percaya kat dia, dan kita pun bayar RM5K kat dia sebagai duit muka. Tapi tiba-tiba dengan duit tu dia lesap. Adakah boleh kita potong tangan si penipu ni?...Tak boleh tuan-tuan sebab tidak disyariatkan oleh agama. Yang disyariatkan ialah apabila pencuri itu ambik harta kita secara diam-diam. Kes penipuan seperti ini tertakluk di bawah ta`zir, yakni terpulanglah kepada kebijaksanaan undang-undang yang dibuat oleh pemerintah. Yang disebut "kebijaksanaan pemerintah" ialah kita tak mau lagi tengok orang yang menipu RM10 dipenjarakan setahun, manakala orang yang menipu RM1juta dipenjara 2 bulan sahaja. Kita tak mau tengok lagu tu sebab "kebijaksanaan pemerintah" mesti melihat kepada serious atau tidak seriousnya dan berapa banyak kehilangan wang ringgit yang terlibat di dalam sesuatu kes penipuan. ]

b) Orang yang mengambil harta atau barangan orang lain dengan cara paksa dan kekerasan. Mereka yang melakukan kesalahan itu tidak boleh didakwa di bawah kes sariqah (mencuri) dan tidak boleh dikenakan hukuman kesalahan sariqah, tetapi mereka itu hendaklah didakwa di bawah kes kesalahan hirabah (merompak/menyamun) yang wajib dikenakan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan dalam perkara 79 ceraian (1) perenggan (a) (b) (c) dan (d).

[ Kalau ambik harta orang lain secara terang-terangan seperti menyamun, peras ugut, merompak apa semua ni, kesalahan macam ni tak boleh dah potong tangan sebab ia bukan lagi dibawah sariqah, tetapi ianya sudah masuk kes hirabah. Sebagaimana yang kita baca dalam al-Quran, bentuk hukuman hirabah ialah dia ada 4. Yang pertamanya, kalau perompak itu ambik harta sahaja tanpa mencederakan mangsa, maka hukumannya ialah potong kaki dan tangannya secara bersilang (eg kalau potong kaki kanan, maka tangan kiri juga turut kena potong). Yang keduanya, si perompak itu bunuh mangsa tanpa sempat ambik harta, maka penjenayah macam ni hendaklah dihukum bunuh. Kemudian yang ketiganya ialah kalau dia rompak harta mangsa dan lepas tu dia bunuh pula mangsanya itu, maka hendaklah dia dibunuh pada kayu palang. Ada juga pendapat yang mengatakan bahwa dia hendaklah dibunuh dahulu, kemudian baru disalibkan jenazah dia. Maknanya ada 2 pendapat daripada 2 mazhab dalam persoalan melaksanakan hukuman kepada penjenayah yang merompak dan membunuh mangsa. Dan yang keempatnya ialah dalam kesalahan mengganggu ketenteraman awam tanpa mengambil harta dan tanpa melibatkan kecederaan ataupun pembunuhan, maka dia hendaklah dibuang negeri ataupun dipenjarakan selama setahun. Inilah dia hukuman hudud yang telah ditetapkan di dalam al-Quranul karim bagi kesalahan hirabah. ]

c) Orang yang menyambar barangan orang lain sambil lalu, iaitu semasa berjalan atau di atas kenderaan, termasuk juga penyeluk saku di dalam bas, di pasar, di jalan-jalan dan lain-lainnya. Mereka yang melakukan kesalahan yang disebutkan dalam perkara 74 perenggan (a) (b) dan (c) tidak boleh dikenakan hukuman hudud (potong tangan). Kes-kes tersebut adalah merujuk hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah daripada Nabi s.a.w. sabdanya yang bermaksud: Tidak wajib dikenakan hukuman potong tangan ke atas orang yang khiyanat (pecah amanah) dan orang yang mengugut, dan tidak wajib juga dikenakan hukuman potong tangan ke atas orang yang menyambar. (Riwayat Ahmad dan Imam hadith yang empat dan telah mengesahkan oleh Tirmizi dan Ibnu Hibban)

d) Pencurian yang berlaku di medan peperangan. Kes ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. daripada Basar bin Artot r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak boleh dipotong tangan pencuri di masa dalam peperangan. (Riwayat Tarmizi dan Abu Daud dengan sanad yang sahih)

e) Mengambil buah yang tergantung di dahannya kerana sangat lapar dan dahaga. Kes ini adalah merujuk hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bin Al-As bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya mengenai seseorang yang mengambil buah tamar yang tergantung di dahannya, lalu Rasulullah s.a.w. menjawab yang bermaksud: Sesiapa yang mengambilnya dengan mulutnya untuk disimpannya, maka tidak ada sesuatu hukum yang boleh dikenakan ke atasnya. Dan sesiapa yang mengeluarkan sesuatu daripadanya, maka wajib ia menggantinya dan dikenakan hukuman (mengikut pertimbangan hakim). Dan selepas ia meletakkan dalam jaring (tempat meringankan tamar) yang sampai nilai harganya semijan (3 dirham), maka wajib dijatuhkan hukuman potong tangan ke atasnya. (Riwayat Abu Daud dan Nasaai dan mengesahkan oleh al-Hakim)

[ Kita tahu kan bahwa mencuri dalam keadaan senyap-senyap, barulah dikenakan hukum potong tangan. Walaubagaimana ia masih juga tertakluk kepada beberapa syarat. Antaranya ialah barang itu sebelum dicuri, ia mestilah disimpan di tempat yang sepatutnya. Maknanya barang itu dijaga rapi. Tapi kalau barang itu dicuri dalam keadaan tidak dikawal, maka itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud. Contohnya katalah ada sebuah kebun durian biasa yang tidak berpagar, hanya ada sorang saja dok jaga sekali sekala mai duduk kat pondok durian, tiba-tiba datang sorang mai curi buah-buah durian tu dalam quantiti yang cukup banyak, sampai selori. Sepatutnya kita nampak macam pencuri tu nak kena potong tangan sebab nilai yang dia curi tu dah lebih daripada nisab, tapi disebabkan barang yang dicurinya itu berada di tempat yang terbuka (tidak dikawal rapi), maka dia tidak boleh dihukum potong tangan. Nampak tak tuan-tuan macamana ketatnya syarat-syarat hukum potong tangan tu?...Sebab tu kita kata bahwa kalau undang-undang Islam dilaksanakan, bukan ramai yang akan kena potong tangan. Sebab apa?...Sebab syaratnya cukup ketat. Sebagaimana syarat nak hukum orang berzina. Saksinya perlu kepada 4 orang. Bukan senang nak cari saksi 4 orang tuan-tuan oiii!...Memang payah nak jumpa. Samalah juga dengan syarat nak potong tangan ni. Sebab nak pastikan orang yang salah tu benar-benar cukup syaratnya, memang cukup susah. Tapi kalau cukup syaratnya, wajib dipotong tangan orang yang mencuri. Pointnya yang saya nak habag disini ialah hukum potong tangan ni bukannya senang. Bukannya asal mencuri, terus saja potong tangan. Bukan lagu tu. Sebenarnya dia ada banyak syarat-syarat yang ditetapkan oleh agama Allah. Kalau orang curi dalam Masjidilharam sekali pun, kalau benda yang dicuri itu tidak dikawal, tidak semestinya kita boleh potong tangan dia. Sebab itu, kita dalam agama Allah ni, kita setuju ka tak setuju, rujukannya ialah al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w.. Sekali kalau kita guna logik akal, "Pasai apa Allah SWT buat undang-undang lagu ni?...Sepatutnya dia kena potong tangan sebab curi kereta sonata aku yang berharga RM200K tu. Betoi la aku tertinggal kunci dalam kereta, tapi dia yang mencuri. Sepatutnya dia kena potong tangan."...Tuan-tuan, kita kena ingat, Allah Ta`ala lah yang lebih cerdik buat undang-undang lagu ni. Kita hanya hamba Allah yang cukup kerdil dan cukup bodoh kalau nak banding dengan Allah Ta`ala. Jangan sekali-kali kita anggap, kitalah yang lebih cerdik daripada Allah Ta`ala.

Sebab tu, dalam agama Islam ni, ada benda yang kita suka tapi Allah larang. Dan ada benda yang kita benci tapi Allah suruh kita buat. Banyak bendanya tuan-tuan. Contoh yang paling mudah, kita tengok sembahyang Subuh. Tanyalah sapa pun, dalam 10 orang, mungkin ada la 2-3 orang saja yang rajin. Hat lain tu jangan cerita la. Kalau boleh, depa memang tak mau sembahyang Subuh ni. Sebab apa?...Sebab syok tidoq, malas nak bangun pagi-pagi pukoi 5-6 pagi tu. Rasa tak larat, Tuhan saja yang tau. Ni dia perangai orang yang malas sembahyang Subuh. Tapi disebabkan Allah Ta`ala yang mewajibkan sembahyang Subuh, kita rasa malas tara mana sekali pun, wajib kita sembahyang. Ini yang perlu kita faham...Cuba tuan-tuan tengok berzina. Semua orang suka berzina, betoi tak?...Tiap-tiap malam kita boleh bergilir. Malam ni amoi Ipoh mali. Malam esok aci anak mami. Malam lusa melayu rambut koko tak koko. Seronok kalau lagu ni. Tapi kita suka macamana sekali pun, HARAM bagi kita untuk berzina. Berjudi?...Ramai orang suka berjudi, sampai tarikh Amerika serang Iraq pun jadi taruhan. Tapi syok dan asyik tara mana pun berjudi ni, ia tetap diHARAMkan oleh Allah Ta`ala. Begitu juga dengan slogan "satu suami satu isteri". Walaupun dalam posting-posting yang lalu, saya banyak menceritakan tentang keperitan poligami, tapi kita jangan sekali-kali menentang poligami. Jangan sekali-kali buat satu kempen menentang poligami, seolah-olah poligami ni satu benda yang haram. Kita sepatutnya kena terima bahwa poligami ini satu benda halal yang diharuskan oleh Allah SWT. Maknanya, kita suka atau tak suka ka kat poligami, kita wajib terima bahwa poligami satu benda yang diharuskan oleh Allah Ta`ala...Kalau tuan-tuan nak tau, sebenarnya dalang dalam kempen tersebut adalah Sisters In Islam. Depa ini cukup bahaya tuan-tuan. Awat tak bahayanya?...Dari dulu sampai sekarang, isu-isu yang ditimbulkan mereka semata-mata hanya nak meragukan umat Islam sahaja. Mak-mak menteri serta isteri-isteri menteri semua tu bukannya tau apa pun. Depa hanya jadi pelakonnya saja. Tapi tiba-tiba selepas itu kita tengok puak-puak mufti pulak pakat tibai kempen tersebut. Dan apa yang saya nak kata ialah puak-puak mufti ni pun adalah pelakonnya juga. Di belakang mereka sebenarnya adalah ahli-ahli politik yang nak tibai seorang menteri yang isterinya terlibat dalam kempen tersebut. Hangpa semua paham dak apa yang saya nak bagitau?...Yang paham tu, paham la. Yang tak paham tu, buat-buat paham sudah la. Ini dia benda politik ni tuan-tuan, satu benda yang cukup pening. Di tempat kerja kita pening tengok manager dengan manager bergaduh berebut jawatan. Di Univ pun lagu tu jugak, pening tengok pensyarah dengan pensyarah berebut-rebut nak jadi profesor. Tuan-tuan kerja apa sekalipun, kalau ada politiking di tempat kerja, kita boleh pening kepala. Inilah antara masalah dalam kehidupan kita pada hari ini.

Okay sekarang kita tengok isu Perang US/Iraq pulak. Macam-macam pendapat yang kita dah dengar, boleh atau tak boleh perang apa semua ni. Sebenarnya apa yang perlu kita buat ialah kita rujuk balik kepada al-Quran dan as-Sunnah. Cuba kita lihat satu hadith Nabi s.a.w., yang mana baginda bersabda, "Aku telah dibangkitkan hampir dengan hari Qiamat dengan pedang sehingga Allah Ta`ala sahaja yang disembah, tidak ada sekutu bagiNya..."...Apa maksud Nabi s.a.w. kata lagu tu?...Maksudnya ialah perjuangan Nabi s.a.w. dan umatnya akan berlanjutan sehinggalah ke hari Qiamat. Pasai apa jadi lagu tu?...Sebab, mana ada orang hanya sembah Allah Ta`ala. Jadi, dalam misi Nabi s.a.w. dan umatnya nak pastikan hanya Allah sahaja yang disembah, maka pasti mereka akan bertembung dengan orang kapiaq yang menyekutukan Allah dan orang-orang munafiq yang berpura-pura...Kemudian Nabi s.a.w. kata lagi, "...Allah Ta`ala menjadikan rezki ku di bawah naungan tombak ku..."...Maknanya, kalau kita sanggup berperang lawan dengan musuh, maka barulah kita mendapat rezki daripada Allah Ta`ala. Rezki berupa keamanan, kesenangan, kemewahan, kehormatan dan sebagainya ini akan kita perolehi apabila kita menegakkan peperangan setelah tiba masanya peperangan itu disyariatkan oleh Allah SWT...Sambung Nabi s.a.w. lagi, "...Dan Allah Ta`ala menjadikan kehinaan dan kekerdilan ke atas sesiapa yang bercanggah dengan urusan agama ku. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia tergolong dalam kaum tersebut."...Inilah dia amaran Nabi s.a.w. ke atas umatnya yang sekarang ini tidak diendahkan lagi. Nabi dah bagi amaran supaya kita jangan dok ikut rentak orang kapiaq sebab akibatnya nanti kita akan jadi lemah, hina dan akan termasuk dalam golongan kapiaq. So, cuba kita lihat apa dah jadi dengan orang Islam bila Iraq diserang?...Yang kita lihat, ketua negara-negara Islam tak habih-habih dok bermesyuarat dengan PBB?...Kofi Annan tu sapa?...Cuba kita flashback kembali ke zaman Nabi s.a.w.. Di Mekah pada waktu itupun ada juga satu tempat untuk bermesyuarat, ianya dipanggil "Darul Nadwah". Di sinilah ketua-ketua kabilah yang dipengerusikan oleh Abu Jahal bermesyuarat. Pernah dak tuan-tuan dengaq, Nabi s.a.w. masuk ke dalam Darul Nadwah untuk bermesyuarat, bersidang dan mencapai satu keputusan dengan Abu Jahal?...Mana ada, tuan-tuan ooiii!!!...Sirah tak pernah cerita pun tentang puak Islam pi buat persidangan bersama-sama dengan puak kuffar. Tak pernah berlaku sedemikian pada zaman Nabi s.a.w.. Kalau Nabi s.a.w. nak buat keputusan, sekali-kali baginda tak ambik pandangan daripada orang kafir. Sebab apa Nabi s.a.w. tak pernah participate dalam parlimen yang bernama Darul Nadwah tu?...Sebab Nabi tau itu hanya membuang masa saja. Tapi hari ini, kita tak ikut cara Nabi. Kita pi mesyuarat dengan orang kapiaq. Bergantung harap dengan kapiaq untuk buat keputusan. Lepas itu bila dah buat keputusan, tiba-tiba boleh pulak dibatalkan oleh veto Amerika. Tak buang masa ka kalu lagu tu punya dok ada?...Maka betullah kata-kata Nabi s.a.w., apabila kita buat bercanggah dengan cara Nabi, maka Allah Ta`ala menjadikan kehinaan dan kelemahan kepada umat Islam. Sebab itu hari ini kita tengok umat Islam sana sini dipermain-mainkan.

Ya, memang kita akui sapa pun tak suka dengan peperangan. Hatta Allah Ta`ala sendiri dalam Quran mengakui bahwa peperangan adalah satu perkara yang tidak disukai oleh sahabat-sahabat Nabi s.a.w.. Ini disebut dalam tafsir ulama`-ulama` yang muktabar tentang ayat-ayat perang. Sapa pun tak suka dengan perang ni sebab ia melibatkan korban yang ramai. Begitulah dengan kita pun. Tapi sekiranya tiba satu masa dimana umat Islam perlu mengangkat senjata untuk mempertahankan saudara seIslam yang dizolimi, maka pada masa itu, wajib bagi umat Islam berperang. Bagi siapa yang tidak mampu menghadirkan fizikalnya di medan pertempuran, sekurang-kurangnya sekalung doa dipanjatkan kepada Allah Ta`ala. Bagi siapa yang mampu menginfaqkan wang ringgitnya, tolong pastikan wang yang kita salur itu betul-betul dimanafaatkan. Kat wakil PBB jangan tuan-tuan bagi sebab Bosnia mengingatkan kita macamana bantuan yang PBB bawa tak sampai pun kepada penduduk Bosnia. Sejarah mengajar kita, tuan-tuan. Wakil umno pun jangan dok bagi sebab depa hanya tau beli ubat dan makanan saja. Dalam keadaan sebegini, memang kita tak nafi pentingnya ubat-ubatan dan makanan, tapi itu semua secondary. Keutamaannya sekarang ialah kena beli senjata dan bagi pada rakyat Iraq untuk mempertahankan tanahair umat Islam. Itu prioritinya. Kalau kita bagi ubat dan makanan saja, umpama macam kita bela ayam daging la tuan-tuan. Bagi makan cukup-cukup, bila sakit bagi ubat, lepas tu mai Amerika, sembelih habih semua. Kita tak mau benda lagu ni berlaku. Inilah dia Fiqhul Awlawiyat (Fekah keutamaan) yang perlu kita faham. ]

Wallahu ta`ala `alam.

Bersambung

Kembali Ke Muka Hadapan