BAHAGIAN MUQQADIMAH

Qanun Jinayah Syar`iyah

Kuliyyah Maghrib ini disampaikan oleh Ustaz Ahmad Jailani di Masjid Sungai Gelugor, Pulau Pinang.

Muqaddimah Kuliyyah :

Ustaz Ahmad Jailani memulakan pengajian dengan membawa satu kisah yang diceritakan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quranul Karim. Dimana ALLAH SWT berfirman dalam Surah at-Taubah 11:118 yang bermaksud,

"Dan terhadap 3 orang yang ditangguhkan penerimaan taubatnya oleh ALLAH SWT, sehingga mereka merasakan bumi ALLAH SWT yang luas ini menjadi begitu sempit. Dan sehinggakan mereka merasakan diri mereka juga begitu sempit. Dan mereka merasakan bahwa mereka tidak dapat melarikan diri daripada azab ALLAH SWT. Kemudiannya ALLAH SWT menerima taubat mereka, supaya mereka tetap dalam keadaan bertaubat. Sesungguhnya ALLAH SWT itu, adalah Tuhan yang Maha menerima taubat."

Ayat yang diatas ini merupakan satu ayat yang menceritakan kepada kita suatu kisah yang berlaku kepada 3 orang sahabat Nabi s.a.w., iaitu Kaab bin Malik, Hilal bin Umaiyyah dan Marrarah bin ar-Rabbi`. Di dalam kitab tafsir al-`Azim, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan ditulis kembali oleh Ibn Kathir; menceritakan bagaimana satu riwayat yang diceritakan sendiri oleh Kaab bin Malik tentang peristiwa yang berlaku terhadap beliau berkaitan dengan ayat tadi. Dimana Kaab bin Malik menceritakan bagaimana sebab turun ayat tadi adalah berkaitan dengan Kaab bin Malik sendiri, Hilal bin Umaiyyah dan Marrarah bin ar-Rabbi`. Peristiwa itu berlaku ketika Nabi s.a.w. memerintahkan umat Islam supaya bersiap-sedia bagi menghadapi peperangan Tabuk (menghadapi tentera Rumawi timur ketika itu). Maka dengan perintah itu, keluarlah semua para sahabat termasuklah Kaab bin Malik, pergi mencari bekalan. Maklumlah, oleh kerana mereka akan menghadapi suatu perjalanan yang begitu jauh (memakan masa begitu lama, serta mengharungi padang pasir yang begitu panas), maka bekalan secukupnya amatlah perlu.

Lalu diceritakan bila Kaab bin Malik keluar mencari bekalan; pada hari pertama dia pulang dengan "tangan kosong". Begitulah juga dengan hari ke2, ke3 dan seterusnya; sehinggalah sampai pada hari sehari sebelum Nabi s.a.w. bersama-sama dengan tentera-tentera ALLAH keluar pun, masih lagi Kaab bin Malik gagal mendapatkan bekalan. Maka dengan kerana itu, Kaab bin Malik pun mengambil keputusan untuk tidak menyertai Nabi bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang lain pergi berperang. Namun demikian, Kaab bin Malik tetap merasa susah hati bila dia tengok Nabi keluar bersama dengan sahabat-sahabat yang lain. Dia merasa kecewa, bimbang dan khuatir dengan kesilapan yang telah dilakukannya. Walaupun kesilapannya itu nampaknya kecil, tetapi Kaab bin Malik tetap merasa susah hati. Maka dia rasa tak sabar-sabar untuk menunggu Nabi s.a.w. pulang daripada peperangan Tabuk untuk dia minta ampun/maaf kepada Nabi dan untuk menyatakan taubatnya kepada ALLAH SWT.

Maka apabila selesai peperangan Tabuk dan Nabi s.a.w. pun kembali ke Madinah, lalu Kaab bin Malik pun pergi berjumpa dengan Nabi dan memberitahu sebab-sebab mengapa dia tidak dapat menyertai peperangan Tabuk. Sebelum dia berbuat demikian, didapatinya bahwa ada juga orang-orang Islam yang lain yang pergi minta maaf kepada Nabi kerana mereka juga tidak pergi perang bersama. Berbagai-bagai alasan yang mereka bagi; seperti tidak sihat, uzur dan fizikal mereka lemah umpamanya. Dan didapati oleh Kaab bahwa Nabi s.a.w. telah mengampunkan mereka. Dengan apa yang dilihat oleh Kaab itu, maka timbul lintasan dihatinya untuk berbohong kepada Nabi, supaya dia juga dimaafkan oleh Nabi. Tetapi pada masa yang sama, dia juga merasakan kalau dia berbohong kepada Nabi, maka dia akan mendapat dosa yang besar di sisi ALLAH SWT. Oleh kerana tidak sanggup untuk berbohong kepada Nabi, lalu akhirnya, Kaab mengambil keputusan untuk berterus terang kepada Nabi s.a.w..

Lalu Kaab pun memberitahu kepada Nabi bahwa dia sebenarnya seorang pemuda yang sihat, serta mempunyai 2 ekor unta tunggangan yang baik; cumanya dia tidak dapat pergi kerana dia gagal untuk mendapatkan bekalan yang cukup untuk persiapan menghadapi peperangan Tabuk.

[ Itu saja kesalahan Kaab. Kita nampak kecik aja, tapi tidak bagi Rasulullah. ]

Lalu Nabi s.a.w. mengeluarkan satu "temporary order" terhadap 3 orang sahabat tersebut, iaitu hendaklah mereka diboycott oleh seluruh penduduk Madinah ketika itu. Apabila Kaab tahu yang perintah pemulauan terhadap mereka bertiga ini telah pun dikuat-kuasakan, maka dia pun pulang ke rumah, menyuruh isterinya berkemas untuk dihantar balik ke kampungnya, kerana isterinya juga turut wajib memulaukan suaminya sendiri.

Setelah Kaab keseorangan tanpa isteri, dia pun keluar pergi ke pasar dengan harapan ada orang yang akan sapa dia. Tetapi harapannya meleset kerana semua orang pakat buat tak tau saja kat dia. Maka mulalah Kaab merasa susah hati dengan boycott yang dikenakan ke atas dirinya. Kemudian Kaab pergi ke masjid pula, bukan saja untuk berjemaah, malah dengan harapan supaya boleh bertegur sapa dengan Nabi s.a.w. dan para sahabat yang lain. Tetapi rupa-rupanya perkara yang sama seperti di pasar tadi, berlaku lagi sekali di masjid. Kaab merasa sungguh kecewa bila salamnya tidak disambut oleh Nabi, malah Nabi memaling mukanya daripada Kaab supaya mata mereka saling tidak bertembung. Begitu jugalah dengan sahabat-sahabat yang lain, hingga dalam masjid pun mereka memulaukan Kaab bin Malik, Hilal bin Umaiyyah dan Marrarah bin ar-Rabbi`. Keadaan sebegini, membuatkan Kaab begitu tertekan sekali jiwanya. Menyebabkan Kaab merasakan yang bumi ALLAH SWT yang sebegini luas, dirasanya terlalu sempit. Perintah boycott oleh Nabi s.a.w. ke atas 3 sahabatnya itu berlarutan selama 50 hari 50 malam.

Sehinggalah pada suatu ketika pada waktu Subuh, dimana para sahabat r.a. dengan tiba-tiba mengerumuni ke arah Kaab bin Malik untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepadanya kerana ALLAH SWT telah menerima taubat Kaab bin Malik. Sepertimana firman ALLAH, "Kemudian taubat mereka diterima, supaya mereka tetap dalam keadaan bertaubat kepada ALLAH SWT."...Lalu Kaab bin Malik, dengan perasaan begitu gembira, pergi mencari Nabi s.a.w.. Bila saja bertemu dengan Nabi, lalu Kaab tanya kepada Nabi, "Adakah ini keputusan daripada Nabi ataupun keputusan daripada ALLAH SWT, untuk menerima taubat ku?"…Lalu Nabi berkata kepada Kaab, "Bahwa ini adalah keputusan daripada ALLAH. Maka ia bukan keputusan daripada aku."…Setelah diperjelaskan oleh Nabi sedemikian, maka Kaab merasa begitu gembira sehinggakan berkata Kaab kepada Nabi s.a.w., "Sebagai tanda kesyukuran ku kepada ALLAH, aku menyerah seluruh harta benda aku ini pada jalan ALLAH SWT."…Setelah mendengar ucapan daripada Kaab bin Malik itu, maka Nabi s.a.w pun memberi nasihat kepada Kaab, "Janganlah bagi semua wahai Kaab. Simpanlah separuh harta mu itu untuk keperluan kamu."...

Muslimin muslimat sekelian, ayat yang dibawa oleh ustaz Ahmad Jailani ini merupakan satu ayat yang boleh dijadikan pedoman kepada kita semua. Dimana masjid, pada zaman Nabi s.a.w. menjadi tempat pentarbiyyahan kepada umat Islam. Sehinggakan masjid menjadi tempat untuk mengajar Kaab supaya jangan lagi melakukan kesilapan yang sama. Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat kita mutakhir ini adalah sebaliknya. Contohnya, bila ada diantara sahabat-sahabat kita yang menggunakan masjid untuk menegur kawan-kawan yang lain, maka si penegur ini pula akan dianggap sebagai penimbul masalah dalam masyarakat. Tetapi di zaman Nabi, terutamanya semasa peristiwa yang disebut oleh ALLAH SWT ini yakni selepas peperangan Tabuk; jelas menunjukkan kepada kita bagaimana Nabi s.a.w. menjadikan masjid sebagai tempat pentarbiyyahan kepada seluruh umat Islam, khususnya kepada Kaab bin Malik, Hilal bin Umaiyyah dan Marrarah bin ar-Rabbi`. Sehinggakan 3 orang sahabat Nabi ini walaupun masuk dalam masjid sekali pun, tetapi mereka tetap di boycott oleh Nabi kerana kesilapan yang mereka lakukan sendiri. Sedangkan kesilapan yang dilakukan oleh Kaab pada pandangan kita adalah amat kecil, iaitu dia keluar cari bekalan tapi tak jumpa...Itu saja. Tapi pada Nabi s.a.w., Kaab perlu diajar supaya Kaab lebih berhati-hati dimasa hadapan. Para sahabat yang lain juga memulau Kaab bukan setakat di pasar, malah di masjid pun Kaab dipulau juga. Sebab itu, apa yang kita lihat ialah peranan masjid di zaman Nabi s.a.w., benar-benar menjadi satu tempat yang mentarbiyyah masyarakat. Sebab itu, para sahabat radiallahuanhum, semuanya menjadi satu generasi yang digelar sebagai "Generasi Rabbani", yakni yang tunduk dan patuh kepada ALLAH SWT.

Kemudian dalam ayat ini juga, ALLAH menyatakan kepada kita bahwa mereka bertiga ini merasakan bahwa mereka tidak dapat melarikan diri daripada azab ALLAH SWT.

[ Sebagaimana kita pada waktu kanak-kanak dulu, bilamana ibu atau ayah hambat kita dengan rotan, kita lari lintang pukang pi menyorok kat mana ka sat. Tapi bila mai time Maghrib, mau tak mau, kita kena kembali juga ke rumah. Pasai apa secara otomatik bila dekat nak malam, kita kena balik ke rumah juga?...Sebab kita tahu, itu adalah rumah kita, nak makan nasi itulah tempat dia, nak minta duit itulah tempat dia, nak pakai baju sekolah itulah tempat dia, nak mandi itulah tempat dia; walaupun kita tahu bahwa di rumah itu jugalah ada menunggu dua orang yakni mak dan ayah kita yang menunggu dengan rotan. Terpaksa balik juga ke rumah sebab emak dan ayah kita merupakan tempat pergantungan kita. ]

Jadi, sahabat Nabi s.a.w. ni pun begitu juga. Yang mana ALLAH cerita kat kita bahwa mereka merasakan bahwa mereka tak dapat lari daripada azab ALLAH SWT. Yakni bila mereka buat sesuatu kesilapan, maka mereka tahu bahwa ALLAH SWT akan murka, lalu mereka tak boleh lari daripada ALLAH TA`ALA. Tu dia yang kata sahabat radiallahuanhum tu, tuan-tuan. Di atas dunia ni pun, mereka sudah merasa tertakluk kepada kuasa ALLAH, apatah lagi bila duduk di akhirat kelak; yang mana tidak ada tempat yang lain untuk melarikan diri daripada azab ALLAH SWT.

[ Ini yang dikatakan sahabat Nabi ni. Kita pulak lagumana tuan-tuan?...Sebab itu, saudara saudari, muslimin muslimat sekelian; kita hendaklah mengambil satu sikap sebagaimana sikap yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. serta para sahabat r.a., dimana mereka benar-benar menjadikan masjid sebagai tempat mentarbiyyah masyarakat, walaupun kadang-kala memerlukan kepada tindakan yang amat keras. Contoh sikap yang keras itu adalah seperti pulau memulau kerana tujuannya ialah untuk mengajar kepada sebahagian daripada umat Islam supaya patuh dan tunduk kepada ajaran ALLAH SWT. ]

Sebab itu, saudara/saudari, muslimin/muslimat sekelian; dalam konteks pengabdian kita kepada ALLAH SWT, kita hendaklah sanggup mengorbankan segala kepentingan berbentuk peribadi. Kadang-kadang kita terlampau sayang kepada jawatan, menyebabkan kita akur kepada kehendak pihak-pihak yang tertentu. Disebabkan kita terlalu sayang kepada kepentingan-kepentingan peribadi, sehinggakan kita sanggup mengorbankan kepentingan ALLAH SWT.

Contoh kepada kita, yakni yang sanggup mengenepikan kepentingan peribadi dan menunjukkan kepada kita cara pengorbanan yang sepatutnya diikuti oleh umat Islam yang mengaku menjadi hamba ALLAH SWT, tak lain dan tak bukan ialah Nabi ALLAH Ibrahim a.s.. Kalau kita masih ingat, sepertimana doa yang dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada ALLAH SWT yang kemudiannya dirakamkan oleh ALLAH di dalam Surah Ibrahim 13:37 yang bermaksud, "Wahai Tuhan kami, aku telah menempatkan sebahagian daripada keturunanku di lembah yang tiada tanam-tanaman berhampiran dengan rumahMu yang disucikan. Wahai Tuhan kami, peliharalah mereka supaya mereka menegakkan sembahyang dan jadikanlah hati-hati manusia supaya tertarik kepada mereka."...Hari ini, kita boleh tengok sendiri macamana jutaan manusia tertarik untuk pergi ke Mekah. Yang mana Mekah ni asalnya adalah suatu lembah yang tiada tanam-tanaman; tapi bila Nabi Ibrahim berdoa kepada ALLAH TA`ALA, maka sekarang ni berduyun-duyun manusia pergi ke Mekah untuk menunaikan haji/umrah.

Lalu sambung doa Nabi Ibrahim lagi, "Kurniakanlah kepada mereka buah-buahan semoga mereka bersyukur kepada Mu, wahai ALLAH."...Cuba tuan-tuan bayangkan, macamana Nabi Ibrahim boleh berdoa macam ni kepada ALLAH?...Sedangkan dia tahu bahwa bumi Mekah ketika itu tiada berpenghuni, suatu wadi yang kering kontang, tiada tanam-tanaman dan tidak menarik perhatian manusia; tetapi kenapa Nabi Ibrahim a.s. sanggup letakkan isterinya Siti Hajar bersama dengan anaknya Nabi Ismail a.s. di situ?…Inilah yang dikatakan keyakinan 100% kepada ALLAH SWT, menyebabkan Nabi Ibrahim tunduk kepada kehendak ALLAH dan dia ketepikan kepentingan peribadi. Dia menjunjung titah perintah ALLAH, walaupun dia tahu dia terpaksa berpisah buat sementara waktu dengan keluarganya.

Sikap Siti Hajar pula, yang sebagaimana diceritakan oleh Imam Bukhari, yang dibawa oleh al-Marhum Abdullah Syeikh Ulwan dalam kitab "Tarbiyyatul Awlat". Dia menceritakan kepada kita mengikut riwayat Imam Bukhari, bahwa sewaktu Nabi Ibrahim nak pergi saja meninggalkan Siti Hajar, maka Siti Hajar mengejar Nabi Ibrahim lalu bertanya, "Mengapa kamu sanggup meninggalkan kami di tempat yang sebegini rupa?"Tapi Nabi Ibrahim mendiamkan diri. Kemudian ditanya lagi oleh Siti Hajar, "Apakah ini adalah perintah daripada ALLAH SWT?...Kalau ini perintah daripada ALLAH SWT, maka kami akur dan kami tunduk."Inilah dia kata-kata Siti Hajar kepada suaminya Nabi Ibrahim a.s., walaupun dia tengok di depan matanya itu suatu wadi yang tiada tanam-tanaman, tiada air dan tiada berpenghuni. Inilah contoh keyakinan dan pengorbanan kepada ALLAH SWT.

Jadi, sepatutnyalah bila kita buat Saei tu, hendaklah kita kenangkan balik apa yang telah Siti Hajar lakukan. Jangan jadi macam setengah orang kita, bila depa berlari-lari anak daripada Bukit Suffa ke Bukit Marwah, depa sempat bersembang tentang nak beli kereta baru bila balik dari Mekah nanti. La ni pakai wira 1.3, bila balik nanti nak tukaq pi 1.5 Auto. Laaa, ke situ perginya pulak. Daripada Bukit Suffa ke Bukit Marwah tu kira habis lengkap perbincangan tentang kereta baru....Orang macam ni pun ada jugak ka?

Kemudian bila sembelih lembu umpamanya bila mai Hari Raya Korban; sepatutnya kita kena kenangkan kembali bagaimana Nabi Ismail sanggup menyediakan dirinya untuk disembelih oleh ayahandanya Nabi Ibrahim a.s.. Tetapi kita hari ini, hanya setakat beli lembu 2-3 ekor, kemudian masuk tv tunjuk hebatnya kita berkorban. Tetapi sebenarnya kitalah manusia yang paling payah untuk berkorban kepada ALLAH SWT. Tiada gunanya kita berkorban, kalau setakat kita hanya mampu beli 2-3 ekor lembu; tetapi dengan ALLAH SWT, kita tidak ada semangat pengorbanan yang tinggi. Contohnya; kita hari ini, bila orang ugut/gertak sikit nak pecat kita daripada jawatan Pengerusi masjid, atau ajk masjid, atau jkk kampung; kita dah mula risau. Inilah contoh jauhnya jurang diantara kita (manusia moden hari ini) dengan Nabi Ibrahim a.s.. Jadi, bagaimana kita boleh declare kata kita manusia yang bertaqwa kepada ALLAH SWT, sedangkan kita tidak mempedulikan apa yang ALLAH SWT suruh kita buat (i.e. melaksanakan undang-undang jinayahNya, munakahatNya, dan sebagaiNya). Yang kita buat ialah dok bagi pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan kehendak ALLAH SWT. Inilah contoh bagaimana jauhnya keyakinan kita kepada ALLAH kalau nak dibandingkan dengan keyakinan Siti Hajar kepada ALLAH SWT. Walaupun tiada benda keperluan apa pun di Mekah ketika itu, tapi Siti Hajar tetap sanggup duduk di Mekah bersama dengan bayinya Nabi Ismail, dalam keadaan ditinggalkan suami pula tu. Sebab apa dia sanggup?…Sebab dia tahu bahwa ALLAH SWT bersama-sama dengan dia kerana ini adalah perintah daripada ALLAH TA`ALA.

Kebanyakan kita pada hari ini, berlaku sebaliknya. Jadi payah pula nak melaksanakan undang-undang ALLAH SWT walaupun kita tahu bahwa ia sudah termaktub dalam al-Quranul Karim/Sunnah Rasulullah s.a.w. Pasai apa jadi lagu tu?…Ini adalah kerana kita payah untuk yakin bahwa ini adalah suatu ketentuan daripada ALLAH. Dan juga kerana payah bagi kita untuk percaya bahwa kita boleh berjaya melaksanakan undang-undang dan ketetapan daripada ALLAH SWT, kerana diatas pelbagai alasan yang sengaja direka dan dicipta.

[ Dimanakah slogan "Malaysia Boleh" yang dilaung-laungkan selama ini?...Awat sampai kat bab ni, jadi "Malaysia tak berapa nak boleh" pulak dah? ]

Inilah dilemma yang berlaku diantara manusia di zaman moden kalau hendak dibandingkan dengan manusia di zaman para ambiya` dahulu; terutamanya Nabi Ibrahim a.s., isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s.. Mereka bertiga ini, semoga dilimpahi rahmat dan berkat oleh ALLAH SWT.


Bersambung

Kembali Ke Muka Hadapan